AWAS ! BAHAYA MSG PADA MAKANAN HARIAN ANDA

KERACUNAN MSG (MONO SODIUM GLUTAMATE)

“Tambahkan sedikit untuk kelazatan masakan anda!” Demikianlah meyakinkan sekali janji-janji yang memujuk hati segenap surirumah. Penggunaan Mono Sodium Gulamate (MSG) dalam penyediaan juadah Malaysia bukan lagi asing. Sebagaimana pentingnya bawang, lada dan garam, begitu jugalah peranan MSG yang dianggap nadi penyedap kepada masakan. Oleh itu tidak hairanlah jika hampir semua rumah di Malaysia pasti memiliki sekurang-kurangnya sebotol penambah perisa tersebut sebagai ‘teman’ setia di dapur.


Tetapi adakah kita sedar, bahawa pelbagai kajian saintifik yang dijalankan oleh pakar-pakar seluruh dunia mendapati bahawa MSG memberi impak negatif kepada kesihatan manusia? Tahukah kita bahawa penggunaan MSG pernah dikritik hebat oleh Persatuan Barah Kebangsaan Jepun, negara kelahirannya sendiri?


“Silent Killer”
Buktinya pada 25 Oktober 1983, Dr. Shozo Takayama dari institusi tersebut telah menjalankan kajian ke atas 84 ekor tikus yag diberi dua jenis MSG. Selepas 16 bulan, keputusannya menunjukkan tikus-tikus berkenaan telah mengalami tanda-tanda tumor (ketumbuhan) pada paru-paru, usus kecil dan besar, bawah kulit, perut dan otak. Demikian juga hasil kajian Dr. John W. Olney dari University Washington pada awal tahun 1968, yang menunjukkan bahawa MSG mampu menjejaskan otak dan urat saraf.


Fakta ini terbukti dengan sendirinya apabila pada tahun yang sama, muncul sejenis penyakit yang digelar “Sindrom Restoran Cina” (Chinese Restaurant Syndrome). Ia ditemui oleh Dr. RHM Kwok dari Amerika Syarikat yang mengkaji pelanggan-pelanggan di sebuah restoran makanan cina yang mengalami rasa kebas di tengkuk, menurun ke bahagian lengan dan belakang, lemah-lemah anggota dan denyutan koronari yang berlaku setiap 15 hingga 20 minit. Semua symptom ini dialami selepas menjamah hidangan cina, dan puncanya adalah akibat penggunaan MSG yang tinggi. Kajian ini disokong lagi oleh Dr. Baker dan Allen dari hospital Royal North Shore, Sydney, apabila dua pesakitnya diserang asma kronik selama 12 jam sesudah menikmati masakan cina.


Selain itu, kesan MSG turut terlihat pada kanak-kanak. Penggunaan secara berleluasa MSG dalam makanan ringan dan makanan bayi menyebabkan anak-anak turut terdedah kepada bahaya ini. Menurut Dr. Olney lagi, proses penyerangan secara halus MSG terhadap otak bayi yang normal mungkin tidak dapat dikesan, namun ia tetap mendatangkan kesan buruk apabila bayi tersebut mencapai tahap kematangan. Tambahan pula, kesan ini turut membantutkan kebolehan anak menerima pelajaran.


Elak sebelum terlambat
Kajian yang pernah dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang ke atas 100 keluarga mendapati 73 daripadanya menggunakan MSG dalam masakan harian, sementara 19 daripada 21 keluarga lagi memberikan MSG kepada anak yang berumur bawah 6 tahun. Ini menunjukkan masyarakat kita secara keseluruhannya menggunakan MSG dalam kehidupan. Itu belum lagi di kalangan peniaga restoran dan warung, serta makanan bertin dan makanan ringan yang ada di pasaran. Bererti, tanpa kita sedari, masyarakat kita sebenarnya sangat terdedah kepada bahaya MSG.


Inisiatif terbaik untuk menangani masalah ini adalah dengan mengelakkan penggunaan MSG, dan menggantikannya dengan bahan perasa asli. Surirumah dan peniaga tidak perlu bimbang tentang kualiti rasa makanan, kerana kebanyakkan masakan tempatan sudah sememangnya kaya dengan ‘rasa tersendiri’ dari penggunaan pelbagai jenis herba dan rempah-ratus. Buktinya, kita tidak pernah melihat rancangan masakan di televisyen yang menyelitkan MSG dalam resepi mereka. Ini menunjukkan bahawa penggunaan MSG bukanlah satu kemestian, sebaliknya hidangan yang lazat dan menyelerakan bergantung pada kemampuan dan kemahiran memasak seseorang itu sendiri.

Monosodium glutamat (MSG), juga dikenali sebagai Ajinomoto atau Vetsin, ialah sejenis garam natrium berasaskan asid glutamik yang dipergunakan sebagai sejenis bahan tambahan makanan dan dipasarkan secara umum sebagai "penambah perisa". Nama-namanya yang lain termasuk:

Natrium glutamat
Penambah perisa 621
Kod bahan tambahan makan EU: E621
Kod HS: 29224220
IUPAC: asid 2-aminopentanedioik, juga dikenali sebagai asid 2-aminoglutarik.


MSG ditemui dan dipatenkan pada tahun 1909 oleh Perbadanan Ajinomoto di Jepun. Dalam bentuk tulennya, ia merupakan sejenis serbuk berhablur putih, tetapi apabila dilarut di dalam air (atau air liur), ia berpisah dengan pantas menjadi ion-ion natrium dan glutamat yang bebas. Glutamat ialah anion asid glutamik, sejenis asid amino yang wujud secara semula jadi.


Kesihatan
Pada tahun 1959, Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) mengelaskan MSG sebagai bahan "selamat pada umumnya" atau GRAS. Tindakan ini berasal daripada Pindaan Bahan Tambahan Makanan 1958 terhadap Akta Makanan, Ubat, dan Kosmetik Persekutuan yang memerlukan bahan tambahan makanan yang baru diluluskan sebelum dipasarkan. Ini menyebabkan FDA menggubal peraturan-peraturan yang menyenaraikan bahan-bahan, seperti MSG, yang mempunyai sejarah kegunaan selamat atau selamat pada umumnya (GRAS).


Sejak tahun 1970, FDA telah menganjurkan banyak kajian semula tentang keselamatan MSG, glutamat-glutamat dan protein-protein hidrolisis yang lain sebagai sebahagian kajian semula data keselamatan bahan-bahan GRAS di dalam makanan proses yang sedang dilaksanakan. Salah satu kajian semula mengenai bahan-bahan GRAS dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pilihan Persekutuan Persatuan Amerika untuk Biologi Uji Kaji (FASEB). Pada tahun 1980, jawatankuasa ini menyimpul bahawa MSG adalah selamat pada aras-aras yang digunakan ketika itu, tetapi mengesyorkan penilaian lanjut untuk menentukan keselamatannya pada aras-aras penggunaan yang jauh lebih tinggi.


Laporan-laporan lanjut mencuba menyelidik perkara ini. Pada tahun 1986, Jawatankuasa Penasihat FDA Tentang Kehiperpekaan Terhadap Bahan-bahan Makanan menyimpul bahawa MSG tidak membahayakan orang ramai tetapi tindak-tindak balas sementara mungkin akan berlaku pada sesetengah orang. Laporan-laporan yang lain mengemukakan dapatan-dapatan seperti yang berikut:

Jawatankuasa Pakar Bersama tentang Bahan Tambahan Makanan, sebuah jawatankuasa Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada tahun 1987 meletakkan MSG dalam kategori bahan makanan yang paling selamat.
Laporan Jawatankuasa Saintifik untuk Makanan dari Komuniti Eropah (EC) pada tahun 1991 mengesahkan keselamatan MSG dan menggolongkannya dalam kelas "pengambilan harian boleh terima" yang "tidak ditentukan", iaitu kelas yang paling baik untuk sesuatu bahan makanan. Selain itu, jawatankuasa Komuniti Eropah itu berkata, "Bayi, termasuk juga bayi pramatang, telah menunjukkan keupayaan memetabolismekan glutamat yang secekap dengan orang dewasa dan tidak menunjukkan sebarang kerentanan terhadap memakan jumlah glutamat yang banyak."


Laporan Majlis Hal-ehwal Saintifik daripada Persatuan Perubatan Amerika pada tahun 1992 menyatakan bahawa glutamat dalam bentuk apa jua tidak menunjukkan sebarang "bahaya kesihatan yang bererti".


Bagaimanapun, sebuah laporan yang ditempah oleh FDA pada tahun 1995 mengakui bahawa "sebahagian penduduk yang jumlahnya tidak diketahui mungkin boleh terjejas oleh MSG dan mengembangkan kompleks gejala MSG, suatu keadaan yang dicirikan oleh satu atau lebih gejala yang berikut:

kederiaan panas pada tengkuk, lengan, dan dada
kederiaan kebas pada tengkuk yang terpancar ke lengan dan bahagian belakang
kederian-kederiaan sesemut, panas, dan kelemahan pada muka, pelipis, bahagian belakang atas, leher, dan lengan
tekanan atau ketegangan otot muka
sakit dada
sakit kepala
rasa loya
denyutan jantung yang cepat
bronkospasma (kesulitan bernafas)
mengantuk
kelemahan.


Persoalan-persoalan yang menyelubungi implikasi-implikasi kesihatan terhadap pengambilan MSG telah merupakan sebuah tajuk untuk banyak perdebatan. Terdapat banyak bukti anekdot yang membayangkan kesan-kesan kesihatan yang negatif, tetapi kesemua ini masih belum disokong oleh penyelidikan-penyelidikan yang diiktiraf.


Pada April 1968, Dr. Ho Man Kwok menulis sebuah makalah untuk Jurnal Perubatan New England yang berkata:


Saya telah mengalami suatu sindrom yang pelik setiap kali saya makan di restoran Cina, khususnya di restoran yang menghidangkan makanan Cina utara. Sindrom itu yang biasanya bermula 15 - 20 minit selepas saya makan hidangan pertama berlangsung selama lebih kurang dua jam, tanpa sebarang kesan terbawa-bawa. Gejala-gejala yang paling ketara ialah kekebasan pada tengkuk saya yang beransur-ansur terpancar ke kedua-dua lengan serta juga bahagian belakang saya, selain daripada kelemahan umum, dan palpitasi... .


Ulasan ini memulakan perasaan takut akan MSG dan "sindrom restoran Cina". Banyak penyelidikan telah gagal mendapat sebarang sindrom yang berkait dengan MSG (atau sebarang kesan kesihatan yang negatif), dan sindrom restoran Cina umumnya telah diketepikan sebagai sebuah mitos. Walaupun demikian, kerosakan telah dilakukan dan MSG masih disyaki oleh sebilangan besar orang ramai, dengan banyak makanan terus menggunakan label "MSG bebas".


Obesiti

Monosodium glutamat (MSG) telah ditunjukkan sebagai mengakibatkan obesiti di kalangan tikus-tikus makmal. Penyelidikan-penyelidikan haiwan itu telah menyebabkan sebilangan penyelidik untuk membuat teori bahawa MSG memainkan peranan dalam wabak obesiti.

Bagaimanapun, kesan yang sama tidak terlihat di kalangan manusia. Sebuah tinjauan epidemiologi yang terdiri daripada 4,938 orang lelaki berbangsa Jepun daripada Rancangan Jantung Honolulu di Hawaii mendapati bahawa pengambilan MSL tidak berkait dengan obesiti. Tambahan pula, para penyelidik mendapati bahawa pengambilan MSG pada setiap waktu makan tidak berhubung kait dengan kejadian penyakit jantung atau angin ahmar peserta. Kekerapan pengambilan MSG juga tidak menjejaskan aras-aras gula darah atau serum kolesterol di kalangan peserta.


"Anda dipelawa hadir ke taklimat kesihatan percuma di E-EXCEL Malaysia pada setiap hari Rabu sepanjang tahun 2008. KLIK untuk hadir atau hubungi Hariz Haziq pada bila-bila masa: 012-2529 278 "

Sebarang pertanyaan, sila e-mail ke: harizhaziq@gmail.com
Insya'allah anda pasti dilayan !

H&H

Tiada ulasan: